Friday, August 10, 2012

Aidilfitri 1433H Hannan: Perak-Kedah-Johor

1. Jumpa lagi!. Susah betul Hannan nak update blog bila dah menggunakan khidmat android. Nasib baik versi desk top wujud lagi kat rumah Hannan. Apapun untuk raya tahun ni sewajibnya myrazeen (patut kena tukar myhannan tau!) kena upload macam raya tahun tahun lepas. Foto keluarga tahun ni untuk saudara mara dan rakan sahabat kenal. Jangan tak kenal tau!. Duduk di sebelah kiri orang yang membaca blog ini adalah Mohamad Rasyid Redha, dikenali sebagai 'edo' darjah tiga SK Kangkar Pulai 2. Sebelahnya Mohamad Rifqi Redha, panggilan mesra 'kiki' 3 tahun, banyak terlebih vocabulary ...tak percaya cuba bagi soalan. Sebelahnya lagi Mohamad Razeen Redha, dikenali dengan 'jijim' bijak komputer darjah satu sekolah yang sama dengan abang edo, paling kanan hannanlah!. jangan tak tahu... hihihihi! ummi dengan ayah duduk kat atas kerusi.
2. Selain dari ucapan selamat hari raya, maaf zahir batin, Hannan juga ingin mendoakan "Semoga Allah menerima puasa kita dan menjadikan kita suci dari dosa dan termasuk orang-orang mendapat kemenangan". Yang "taqabbalalluminna waminkum" itu adalah ucapan yang warid dari para sahabat Baginda Nabi SAW, ayah selalu ucapkan pada orang waktu bersalaman. Sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya: “Apabila para sahabat Rasul SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan
3. Ummi dan ayah dah mula beli baju raya Hannan dan abang-abang seawal pertengahan Syaaban lagi, katanya bulan ramadhan nanti nak tumpukan pada ibadat. Hannan suka pakai yang cantik-cantik pada hari raya kerana Nabi suka. Imam Syafie berkata: "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

4. Jadi pakaian cantik tidak semestinya baru, berhias-hias dan berwangi-wangi adalah nak menunjukkan kegembiraan terutamanya untuk Hannan dan kanak-kanak lain, Imam Syafie menambah: "Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327

5. Tahun ini Hannan InsyaAllah akan balik ke Taiping dahulu, kampung ayah lepas tu kampung arwah tok nek di Baling dan tok nek Paya Nedam, Hannan suka jalan-jalan jumpa saudara mara sepupu, sebab ayah kata menyambungkan silaturrahim akan memanjangkan umur dan memurahkan rezeki, betul murah rezeki sebab ada dapat duit pelastikkkk.! Lepas beraya di utara, barulah balik Selatan, di Kluang rumah nenek gemok! .... Oh Yea nanti kalau balik Taiping,  tok dah ada jalan baru, jalan batu kerikil (belum tar) jadi tak kena becak dah lagi. .. Janji Ditepati tengoklah papan tanda projek... glemer sungguh tok Hannan ni.
6. Ayah juga tak lupa untuk kirimkan kad selamat hari raya (KSHR), macam selalu agak kuno tapi ia menggembirakan orang yang menerimanya, untuk tidak menghampakan mereka yang tidak dapat KSHR, Hannan dah savekan dan letak kat bawah ni je. Meskipun memang tak dapat balasan, dan ayah tak mengharap pun tapi ia ada sentimental value kata ayah. Cuma sekarang ni yang selalu hantar real KSHR adalah Sultan, Pemimpin Masyarakat, Ahli Politik, Agensi Korporat dan mereka yang bersifat hubungan rasmi sahaja, Manakala individu perseorangan dah tak hantar lagi, semua pakai virtual card, tak payah pakai setem no hassle!.
  
7. Hannan ingat bersuka gembira di hari raya ni sebab nak memenuhi tuntutan perasaan sahaja, tetapi sebenarnya ada asas dalam sejarah Nabi kita rupanya. Dalam kitab Fiqh Sunnah, Allahyarham Syeikh Sayyid Sabiq r.h (ayah pernah jumpa masa belajar dulu) berkata: "Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

8. Rasul SAW sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata: "Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Sunan An-Nasaai no: 959.

9.Tahun ni Hannan dah besar sikit jadi tak payah didukung selalu, hannan juga suka jalan sendiri dah sekarang, naik moto pun pandai ...tak percaya?, cuma sebutan Hannan kurang jelas, jadi apapun yang Hannan minta kena pandai-pandailah beri yea, tak sabar rasanya nak jumpa atuk, tokwan, nenek serta semua kaum kerabat Hannan di kampung, cuti kali ni seminggu sahaja. harap dalam cuti semuanya sihat dan gembira selalu.   
10. Sebelum Hannan upload, Hannan mewakili ayah dan ummi memohon maaf kepada sesiapa yang mengenali mereka samada berlaku kesalahan secara sengaja ataupun tidak sengaja. manakala kesalahan mengkome semua sudah pasti dimaafkan kata ayah. Ayah kata dia amat berharap dosanya diampun kan oleh Allah. kerana amat malang bagi mereka yang mendapat ramadhan tetapi keluar darinya tanpa mendapat ampun dari Allah. Ayah pesan kepada Hannan dan semua bloggez semua dengan hadis di bawah:

11. Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasul SAW bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. [Al-Hakim dan Sanadnya Sahih]

12. Akhir kata, semoga kita bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang dan jika tidak ketemupun harap amalan yang ada ni dapat menghindarkan diri dari azab api neraka, Ya Allah ampunkanlah dosa ayah dan ummi dosa abang abang dosa atuk nenek dosa pembaca blog ini dan dosa para mukminin dan mukminat muslimin dan muslimat... dan jangan lupa bersedeqah terutama kepada Hannan taw!